Oleh : Khartini Hamir / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Januari. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj bagi tahun 1447 Hijrah, bertempat di Dewan Bankuet, JPM hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Juga hadir sama, Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri di JPM, para jemputan khas dan ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan di bawah JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash Shaliheen, Awang Haji Mohd. Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Al-Isra, ayat 9 hingga 15 yang dibacakan oleh L/cpl 5849, Awang Ahmad Raihaan bin Begawan Mudim Haji Matassim dari Pasukan Polis Diraja Brunei.
Majlis diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyah dan Selawat Ibrahimiyah beramai-ramai yang dipimpin oleh Kumpulan Nasyid, Bahagian Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Kemuncak acara diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah, Awang Mohd. Nasyith bin Superi.
Antara inti sari ceramah yang disampaikan adalah sembahyang merupakan teras utama pembentukan modal insan cemerlang kerana ia bukan sekadar kewajipan agama, malah asas kejayaan dunia dan akhirat.
Solat membina iman, disiplin, akhlak mulia, kekuatan rohani, dan keseimbangan emosi, serta mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Melalui solat terangnya, seseorang belajar mengurus masa, bermuhasabah diri, memperbaiki hubungan sosial, dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Melalui kisah-kisah teladan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat membuktikan bahawa menjaga solat membawa ketenangan, perubahan akhlak, dan kejayaan hidup, oleh itu solat hendaklah dihayati dan dijadikan asas kehidupan untuk melahirkan insan yang berjaya dan berakhlak mulia," ujarnya.
Sejurus itu, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khas bagi merafakkan kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sambutan pada tahun ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Tenaga, JPM dan Jabatan Penerangan, JPM.